Wednesday, April 24, 2013

Niat Yg Positif

Ana Ukhti wrote:

TIDAK SIA-SIA SESUATU MAKSUD
APABILA DISANDARKAN KEPADA ALLAH
S.W.T DAN TIDAK MUDAH TERCAPAI
TUJUAN JIKA DISANDARKAN KEPADA
DIRI SENDIRI.
Hikmat yang lalu menggambarkan
keadaan hamba Allah s.w.t yang
mempunyai maksud yang baik iaitu mahu
mengubah dunia supaya menjadi tempat
kehidupan yang sentosa, tetapi ternyata
gagal melaksanakan maksudnya apabila
dia bersandar kepada kekuatan dirinya
sendiri. Allah s.w.t menyifatkan dunia
sebagai tempat huru-hara dan kekeruhan.
Sesiapa yang memasukinya pasti
berjumpa dengan keadaan tersebut.
Kekuatan huru-hara dan kekeruhan yang
ada pada dunia sangatlah kuat kerana
Allah s.w.t yang meletakkan hukum
kekuatan itu padanya. Percubaan untuk
mengubah apa yang Allah s.w.t tentukan
akan menjadi sia-sia. Allah s.w.t yang
menetapkan sesuatu perkara, hanya Dia
sahaja yang dapat mengubahnya. Segala
kekuatan, baik dan buruk, semuanya
datang daripada-Nya. Oleh yang demikian
jika mahu menghadapi sesuatu kekuatan
yang datang dari-Nya mestilah juga
dengan kekuatan-Nya. Kekuatan yang
paling kuat bagi menghadapi kekuatan
yang dipunyai oleh dunia ialah kekuatan
berserah diri kepada Allah s.w.t.
Kembalikan semua urusan kepada-Nya.
Rasulullah s.a.w telah memberi
pengajaran dalam menghadapi bencana
dengan ucapan dan penghayatan:
Kami datang dari Allah. Dan kepada
Allah kami kembali.
Semua perkara datangnya dari Allah s.w.t
dan akan kembali kepada Allah s.w.t juga.
Misalnya, api yang dinyalakan, dari mana
datangnya jika tidak dari Allah s.w.t dan
ke mana perginya bila dipadamkan jika
tidak kepada Allah s.w.t.
Apabila sesuatu maksud disandarkan
kepada Allah s.w.t maka menjadi hak
Allah s.w.t untuk melaksanakannya. Nabi
Adam a.s mempunyai maksud yang baik
iaitu mahu menyebarkan agama Allah
s.w.t di atas muka bumi ini dan
menyandarkan maksud yang baik itu
kepada Allah s.w.t dan Allah s.w.t
menerima maksud tersebut. Setelah Nabi
Adam a.s wafat, maksud dan tujuan beliau
a.s diteruskan. Allah s.w.t
memerintahkan maksud tersebut dipikul
oleh nabi-nabi yang lain sehingga kepada
nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Setelah Nabi Muhammad s.a.w wafat ia
dipikul pula oleh para ulama yang menjadi
pewaris nabi-nabi. Ia tidak akan berhenti
selama ada orang yang menyeru kepada
jalan Allah s.w.t. Jika dipandang dari segi
perjalanan pahala maka boleh dikatakan
pahala yang diterima oleh Nabi Adam a.s
kerana maksud baiknya berjalan terus
selama agama Allah s.w.t berkembang
dan selagi ada orang yang mewarisi dan
meneruskan perjuangannya ini.
Maksud menyerah diri kepada Allah s.w.t,
bersandar kepada-Nya dan menyerahkan
segala urusan kepada-Nya mesti difahami
dengan mendalam. Kita hendaklah
memasang niat yang baik, dan beramal
bersesuaian dengan makam kita. Allah
s.w.t yang menggerakkan niat itu dan
melaksanakan amal yang berkenaan. Cara
pelaksanaannya adalah hak mutlak Allah
s.w.t. Kemungkinan kita tidak sempat
melihat asas yang kita bina siap menjadi
bangunan namun, kita yakin bangunan itu
akan siap kerana Allah s.w.t mengambil
hak pelaksanaannya. Maksud dan tujuan
kita tetap akan menjadi kenyataan
walaupun kita sudah memasuki liang
lahad. Pada masa kita masih hidup kita
hanya sempat meletakkan batu asas,
namun pada ketika itu mata hati kita
sudah dapat melihat bangunan yang akan
siap. Rasulullah s.a.w sudah dapat melihat
perkara yang akan berlaku sesudah
baginda s.a.w wafat, diantaranya ialah
kejatuhan kerajaan Rum dan Parsi ke
tangan orang Islam semasa pemerintahan
khalifah ar-rasyidin. Sekalian nabi-nabi
mursalin yang dibangkitan sebelum Nabi
Muhammad s.a.w sudah dapat melihat
kedatangan baginda s.a.w sebagai
penutup dan pelengkap kenabian.
Begitulah tajamnya pandangan mata hati
mereka yang bersandar kepada Allah
s.w.t dan menyerahkan kepada-Nya tugas
mengurus.
Tidak ada jalan bagi seseorang hamba
kecuali berserah diri kepada Tuannya.
Semua Hikmat dari yang pertama
hinggalah kepada yang ke 33 ini, sekiranya
disambungkan akan membentuk satu
landasan yang menuju satu arah iaitu
berserah diri kepada Allah s.w.t. Hikmat-
hikmat yang telah dipaparkan
membicarakan soal pokok yang sama,
disuluh dari berbagai-bagai sudut dan
aspek supaya lebih jelas dan nyata bahawa
hubungan sebenar seorang hamba dengan
Tuhan ialah berserah diri, reda dengan
lakuan-Nya. Rasulullah s.a.w telah
mewasiatkan kepada Ibnu Abbas r.a:
Apabila kamu bermohon, maka
bermohonlah kepada Allah s.w.t.
Apabila kamu meminta, maka
mintalah kepada Allah s.w.t. Dan,
ketahuilah bahawa sekiranya sekalian
makhluk saling bantu membantu
kamu untuk memperolehi sesuatu
yang tidak ditulis Allah s.w.t untuk
kamu, pasti mereka tidak akan
sanggup mengadakannya. Dan,
sekiranya sekalian makhluk mahu
memudaratkan kamu dengan sesuatu
yang tidak ditulis Allah s.w.t buat
kamu, nescaya mereka tidak sanggup
berbuat demikian. Segala buku telah
terlipat dan segala pena telah kering.
Powered by Telkomsel BlackBerry®